Inilah Dia SK Bindu

Inilah Dia SK Bindu

Tuesday, July 27, 2010

SEJARAH SEKOLAH








SEJARAH
SEKOLAH KEBANGSAAN BINDU



Nama Sekolah : SEKOLAH KEBANGSAAN BINDU
Kod Sekolah : JBA 0035
Alamat : Kampung Bindu,
Mukim VI Linau,
83010 BATU PAHAT,
JOHOR DARUL TA’ZIM
.

Sekolah Kebangsaan Bindu (dahulunya Sekolah Melayu Bindu) bermula pada awal tahun 1925. Bangunan berukuran 11.9 m x 11.9 m (40 kaki x 40 kaki) terletak di atas sebidang tanah kepunyaan Allahyarham Tuan Hj. Awang bin Hj. Abu Bakar. Pembinaannya dilakukan dengan cara bergotong-royong oleh penduduk-penduduk Kampung Bindu.

Hasil dari semangat inginkan pendidikan secara "formal" dibawa ke Kampung Bindu maka terdirilah sebuah sekolah yang kebanyakan bahan binaannya didapati di Kampung Bindu sendiri. Tiang-tiang daripada pohon-pohon yang ditebang di hutan yang berdekatan sementara atapnya daripada daun rumbia yang pokoknya banyak ditanam di tepi sungai yang berhampiran. Sekeliling bangunan dikepung dengan dinding setinggi 0.91m (3 kaki) manakala bahagian dalamnya ditambak dengan tanah untuk dijadikan lantai. Bangku-bangku panjang diletakkan di atas lantai tanah itu supaya murid-murid dapat duduk dengan selesa.

Pada awal bulan Februari 1925 seorang guru bernama Sanif bin Haji Arif (Allahyarham Tuan Hj. Sanof bin Hj. Arif) mula bertugas di Sekolah Melayu Bindu. Kepada 80 orang muridnya beliaulah Guru Besar dan juga guru darjah mereka.

Pada tahun 1928 seorang pegawai pelajaran berbangsa Inggeris melawat Sekolah Melayu Bindu. Pada tahun berikutnya datang pula pegawai-pegawai pelajaran dengan membawa berita bahawa kerajaan bercadang hendak membina sekolah baru di Kampung Bindu. Sebagai bukti mereka membawa pelan bangunan sekolah yang akan dibina itu. Mereka meminta penduduk-penduduk kampung menyediakan tapak yang kekal menjadi hak sekolah itu.

Alangkah gembiranya penduduk-penduduk Kampung Bindu apabila mendengar yang mereka akan dapat sekolah baru. Tetapi tapak untuk didirikan sekolah bagaimana?

Seorang dermawan yang jasanya tidak akan dilupakan tampil menyerahkan sebahagian daripada sebidang tanahnya. Beliau ialah Allahyarham Tuan Hj. Awang bin Hj. Abas. Suatu kawasan iaitu Lot : 2542 seluas 0.8 hektar (1 ekar 3 rod 37.1 pole) dikorbankan demi kepentingan generasi akan datang.

Pada tahun 1930 bermulalah pembinaan bangunan baru Sekolah Melayu Bindu berserta dengan sebuah rumah guru. Sekolahnya di perbuat daripada kayu bertiangkan batu dan berukuran 36.6 m x 9.1m
( 120 kaki x 30 kaki ). Bilik pejabat Guru Besar disediakan berukuran 3.9m x 2 m ( 16 kaki x 10 kaki) dengan menyekat di tengah-tengah bahagian dalam sekolah tersebut. Bahagian lainnya dijadikan bilik darjah. Di antara satu darjah dengan satu darjah yang lain disekat dengan sekerin yang boleh dialih-alih. Maka berhijrahlah Cikgu Sanif membawa murid-muridnya pindah ke bangunan baru pada tahun 1931. Beliaulah Guru Besar pertama. Kini tidaklah seorang sahaja beliau mengelolakan Sekolah Melayu Bindu. Guru penolong ditugaskan bersama. Selain daripada mengajar di bangunan baru, Cikgu Sanif juga dapat duduk di rumah baru berhampiran dengan sekolah iaitu di rumah guru yang baru itu. ( Sila rujuk Lampiran A.2.1 dan Lampiran A.2.2 )

Bangunan baru itu (JKR(BP 405)) hanya menampung murid sehingga darjah empat sahaja. Bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajarannya terpaksalah berhijrah ke bandar. Walaupun cuma sampai darjah empat, pada masa itu Kampung Bindu merupakan pusat pendidikan kepada kampung-kampung yang berhampiran. Pelajar-pelajarnya datang dari Tongkang Pecah, Parit Bilal, Parit Lahak dan Parit Yop.

Segala-galanya di dunia ini tidak akan kekal selama-lamanya. Begitu juga dengan Cikgu Sanif di Kampung Bindu. Dalam Tahun 1931 itu juga beliau ditukarkan ke sekolah lain iaitu beberapa bulan selepas seorang pegawai Inggeris datang melawat sekolah yang baru dibina itu. Tempat Cikgu Sanif diganti oleh Cikgu Mahmud bin Imam. Cikgu Mahmud dibantu oleh Cikgu Jasmon. Cikgu Mahmud bertugas di Sekolah Melayu Bindu sehingga 1935. Penggantinya ialah Cikgu A. Aziz bin Daim yang kemudiannya diganti oleh Cikgu A. Rahman bin Boher.

Di zaman pemerintahan Jepun, Sekolah Melayu Bindu terus dibuka dengan pelajarannya ala Jepun. Guru Besarnya ialah Cikgu Harun bin A. Samad. Apabila Jepun menyerah kalah, pentadbiran Sekolah Melayu Bindu balik semula seperti sebelum pemerintahan Jepun.

Bilangan murid semakin bertambah dalam tahun-tahun 1950an. Masalah tempat belajar perlu diatasi. Sekali lagi penduduk-penduduk tempatan tampil ke hadapan. Hasilnya ialah sebuag bangsal berukuran 18.34 m x 4.1 m ( 60 kaki x 20 kaki ) dijadikan dua bilik darjah. Atapnya separuh diperbuat daripada zing dan yang separuh lagi diperbuat daripada daun rumbia. Letaknya bersetentangan dengan tandas bangunan dua tingkat sekarang dan kedudukannya melintang ke arah jalanraya. ( Sila rujuk Lampiran A.1.2 )

Zaman gemilang di mana geraf jumlah murid saban tahun akhirnya tidak dapat dipertahankan. Sekolah Kebangsaan Bindu mengalami zaman meleset di tahun-tahun 1970an. Jumlah murid paling rendah dalam rekod ialah seramai 54 orang. Inilah satu cabaran kepada guru-guru yang bertugas pada masa-masa itu : cabaran yang merupakan kekurangan serbi-serbi - - - murid-murid, guru kurang dan yang pentingnya peruntukan daripada kerajaan kurang. Yang bertambah hanya tanggungjawab beban dan masa mengajar. Kemelesetan ini menyebabkan bangsal yang dibina dalam tahun 1955 sudah tidak berfungsi sehinggalah menjadi usang, membahayakan dan jadi tempat lembu-lembu berteduh. Akhirnya bangsal itu dirobohkan. Keadaan yang menyedihkan ini berterusan sehingga tahun 1977. Ada ura-ura Sekolah Kebangsaan Bindu akan dijadikan sekolah cawangan kepada satu sekolah lain. Tetapi berkat sabar oleh semua pihak, perubahan berlaku jua.

Di akhir tahun 1970an mulalah mendung yang membelenggu Sekolah Kebangsaan Bindu beredar. Masuk 1980an langit mula cerah. Jumlah murid mula menuju ke tahap 100. Pada tahun 1983, tahap 100 pun dilangkah. Cahaya cerah rupanya bukan sahaja membawa ramai murid. Rupa-rupanya ia juga membuat impian semua penduduk Kampung Bindu kenyataan.

Pada tahun 1981 Kementerian Pelajaran Malaysia telah meluluskan peruntukan membina sebuah sekolah baru. Kerja-kerja pembinaan dimulakan pada awal tahun 1982 dan siap pada akhir tahun itu juga. Hasilnya sebuah bangunan dua tingkat (JKR(BP) 1815) yang berukuran 36.6 m x 9.1 m ( 120 kaki x 30 kaki ) yang mengandungi empat bilik darjah, bilik pejabat Guru Besar, sebuah perpustakan dan lain-lain kemudahan yang ada pada bangunan moden. Kelengkapan perabot bagi semua bilik juga dibekalkan. Sebuah bangunan kantin / tuckshop (JKR(BP) 1816) dibina serentak dengan bangunan induk. ( Sila rujuk Lampiran A.4.1 , Lampiran A.4.2 , Lampiran A.5.1 , Lampiran A.6.1 dan Lampiran A.7.1 )

Hari Ahad 2hb. Januari 1983 merupakan hari bersejarah kerana hari itulah hari pertama sekolah dibuka dengan pentadbiran dan semua murid serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran berpindah ke bangunan baru.

Majlis perasmian Sekolah Kebangsaan Bindu dilangsungkan oleh Y.B. Datuk Abdullah bin Ahmad Badawi (Menteri Pendidikan Malaysia) pada hari Jumaat 23hb. Mac 1985 sempena sambutan Jubli Intan Sekolah Kebangsaan Bindu.

Titik sejarah hitam berlaku pada tanggal 1hb Jun 1986. Bangunan JKR(BP) 405 yang didirikan pada tahun 1930 terbakar. Separuh dari bangunan tidak dapat diselamatkan. Namum dengan cekal hati semua warga Kampung Bindu bergotong-royong membaiki bangunan tersebut. Urusan pemulihan telah sempurna pada tahun 1988. ( Sila rujuk Lampiran A.3.1 dan Lampiran A.3.2 )

Sementara menanti bangunan JKR (BP) 405 dibaiki, pihak sekolah mengalami kesulitan menampung bilangan murid yang sediada. Maka Kementerian Pendidikan Malaysia telah meluluskan pembinaan satu blok bangunan (Projek “Kilat”) yang mengandungi 4 bilik darjah dengan tandas murid. Bangunan baru ini (JKR(BP) 2098) telah siap dibina pada tahun 1988. ( Sila rujuk Lampiran A.5.2 )

Kini SK Bindu telah dianugerahkan sebuah makmal komputer oleh Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah Fasa 2 Projek Penyediaan Infrastruktur Fizikal Dan Pengkomputeran Di Sekolah Menengah Dan Rendah Untuk Kementerian Pendidikan Malaysia. Pembinaan fizikal makmal komputer tersebut telah bermula pada 24.12.2001 di Lot : 2542 ( berselarian dengan Blok JKR(BP) 2098 di kawasan padang sekolah ).

Sebuah bangunan baru berhadapan dengan bangunan Makmal Komputer telah mula dibina bermula pada 30.11.2006 dengan kos sebanyak RM 63661.45 dibawah RMK-9. Bangunan tersebut dibina oleh Syarikat Nora Bintang dibawah Projek Bina Baru PraSekolah RMK-9. Seramai 25 orang murid merupakan perintis pada sessi persekolahan 2007 dengan bimbingan seorang guru PraSekolah dibantu oleh seorang pengasuh.



Kini Sekolah Kebangsaan Bindu mempunyai bangunan-bangunan seperti:

1. JKR(BP) 1815 - Bangunan 2-tingkat ( Lampiran A.5.1 )

2. JKR(BP) 1816 - Bangunan “Tuckshop” ( Lampiran A.6.1 )

3. JKR(BP) 2098 - Bangunan 1-tingkat ( Lampiran A.5.2 )

4. JKR(BP) 405 - Bangunan lama ( Lampiran A.2.1 )

5. Makmal Komputer - Bangunan sebuah ( Lampiran A.7.2 )

6. Pra-Sekolah - Bangunan sebuah





























3 comments:

  1. As Salam,

    Noor Azman Bin Mohamad Darjah 1 - 3(1977 - 1979), Anak kepada Siti Hawa Binti Ali, Cucu kepada bekas imam Allahyarham Hj Ali Bin Abdullah (Pak Unggal)

    Dah ingat2 lupa pengalaman kat SK Bindu nihh .. tapi masih ingat 1 kelas cuma 7 org ...

    ReplyDelete
  2. Pembetulan:
    Tanah utk pembinaan sekolah ini diwakafkan oleh Tn Hj Abdullah bin Abas dan bukannya Tn Hj Awang seperti yg dicatat di atas.
    Tn Hj Abdullah mempunyai empat org anak yg kini kesemuanya telah meninggal dunia iaitu Allahyarham Ahmad (ayahanda Pn Hawa @ Mak Andak Awa),Allahyarhamah Jahara (bonda En Karim Jambak),Allahyarhamah Sembah (bonda Allahyarhamah Timah @ Uteh Timah) dan Allahyarhamah Halimah (bonda Allahyarhamah Hjh Sena @ Makngah Sena)Sebab itulah kawasan sekeliling sekolah Bindu didiami oleh nama-nama seperti yg disebutkan krn mereka semua adalah cucunda kepada Allahyarham Tn Hj Abdullah bin Abas. Alfatehah utk Allahyarham krn jasanya mewakafkan tanah utk pembinaan sekolah yg akhirnya menjadikan anak Bindu "duduk sama rendah berdiri sama tinggi dgn org lain".

    ReplyDelete